Wednesday, September 5, 2018

Pemasangan siling rumah.

Pemasangan siling rumah bermula setelah selesainya pasang atap. Harga siling selapis adalah RM2.70/kps manakala yang yang ditambah skirting adalah RM3/kps. Hanya ruang tamu yang dipasang skirting manakala bilik lain tidak dipasang skirting. Untuk kaki lima juga menggunakan siling kapur. Jumlah kos keseluruhan adalah RM8,400. Untuk lebih menjimatkan boleh diatap asbestos di kaki lima. Pada asalnya memang hendak menggunakan siling biasa sahaja di kaki lima tetapi oleh kerana ingin menjimatkan masa hanya memasang siling kapur juga diluar rumah.

Tempahan grill dan pagar.

Tempahan grill dan pagar dibuat dengan kenalan Abe Yie. Sebutharga yang diberikan adalah sebanyak RM10,900 iaitu RM4,000 untuk grill dan RM6,900 untuk pagar (2 pagar dan 1 autogate). Bagi tempahan grill dan pagar, pada asalnya ingin pergi ke kedainya dahulu kerana ingin melihat jenis-jenis besi yang digunakan tetapi Abe Yie memaklumkan bahawa kenalannya tidak banyak barang-barang dan membuat grill dan pagar jika menerima tempahan. Memang terasa agak kecewa kerana takut pembuat grill silap memilih besi. Kami membayar harga bagi grill dahulu kerana masih belum membuat keputusan bagi corak pintu pagar.

Beberapa hari selepas itu, isteri memaklumkan di tempat kerjanya juga ada kontraktor yang membuat grill dan pagar dikenalai Emy. Penerangan Emy tersebut tentang spesifikasi serta harga bagi grill dan pagar juga lebih jelas. Beliau juga mempunyai kedai dimana boleh melihat contoh - contoh besi yang digunakan. Oleh itu pada hari cuti, kami pergi ke kedai beliau untuk melihat contoh besi dan beliau juga menawarkan harga yang lebih murah dari kontraktor Abe Yie. Kami berasa serba salah dalam pemilihan kontraktor pagar kerana tidak mahu mengecewakan Abe Yie.

Selang beberapa hari, pihak kontraktor grill telah menghantar gambar grill yang telah dibuat kepada isteri saya. Alangkah kecewanya apabila grill yang dibuat tidak menepati citarasanya. Kami ingat kontraktor faham dengan corak yang diinginkan tetapi tidak. Oleh kerana kejadian ini, maka terus membatalkan tempahan pagar dengan beliau. Pagar akan ditempah dengan Emy.

Pembelian cat serta proses mengecat

Pada peringkat awal memang ingin tukang cat sahaja yang mengecat rumah tetapi setelah bertanya tentang kos mengecat, Abe Yie mengatakan kos cat sahaja perlu menyediakan sebanyak RM10,000 (harga tidak sampai RM10,000 tetapi perlu standby) dan upah dalam RM4-5 ribu. Oleh kerana ingin membuat pagar batu yang kosnya dalam RM15,000 maka telah diambil keputusan untuk mengecat sendiri dengan bantuan adik ipar.

Semasa membuat tinjauan mengenai jenama - jenama cat, telah terjumpa cat berjenama Easy Colour Paint. Cat ini adalah keluaran syarikat Bumiputra beralamat di Pulau Pinang. Mengikut pihak EasyPaint, cat ini tidak memerlukan cat undercoat atau sealer. Oleh itu ia menjimatkan masa dan kos. Sebanyak 3 gred cat ditawarkan iaitu Epaint (RM390), Upaint (RM300) dan Bpaint (RM250). Keistimewaan cat ini juga harga yang ditawarkan adalah sama bagi setiap warna. Jika membeli cat berjenama lain, harga adalah berbeza mengikut warna. Selalunya warna yang lembut adalah lebih murah. Sebanyak 7 tong cat 18l dipesan (6 tong Epaint dan 1 tong Upaint) dengan jumlah kos RM2620 termasuk penghantaran. Oleh kerana kilang hanya berada di Pulau Pinang sahaja khidmat penghantaran digunakan untuk menghantar cat tersebut menggunakan bas. Jika hanya membeli 1 tong maka akan menggunakan khidmat kurier. Khidmat penghantaran dicaj sebanyak RM30 sahaja.

Cat telah sampai awal pagi 28/7/18. Proses mengecat bermula pada 3/8/18. Cat dimulakan dengan siling dan kemudiannya bilik tidur. Cat dilakukan pada hujung minggu sahaja. Setelah beberapa kali mengecat, pekerja binaan memberitahu untuk menggunakan cat undercoat. Ini adalah untuk memastikan warna cat lebih sekata dan untuk memastikan lapisan simen dinding tidak kelihatan. Setelah diteliti memang terdapat tempat yang kurang sekata. Hal ini lebih jelas dengan warna yang lebih lembut. Bilik anak menggunakan warna biru laut dan warna merah jambu, oleh itu tidak terlalu nampak akan ketidaksekataan cat. Tetapi bilik utama menggunakan warna krim, setelah mengecat sebanyak 2 lapis cat, masih ternampak warna simen dinding.

Oleh sebab itu, saya membuat keputusan untuk menggunakan cat undercoat untuk ruang lain yang belum dicat iaitu ruang tamu,dapur dan bahagian luar. Cat undercoat adalah cat berwarna putih dan ada yang murah dan yang mahal iaitu cat sealer. Harga cat yang murah adalah sekitar RM70 bagi tong besar 18l manakala harga bagi cat sealer adalah sekitar RM160 bagi tong 18l. Cat undercoat biasa adalah berasaskan kapur, oleh itu jika ingin cat tahan lama adalah disyorkan menggunakan cat sealer. Mengikut kedai, jika menggunakan cat undercoat murah maka dalam jangka masa panjang cat tersebut tersebut mudah mengelupas. Jika menggunakan sealer, ia seperti gam yang melekat di dinding oleh itu ia tidak mudah mengelupas. Selain itu, mengikut pihak kedai, perlu membiarkan plaster dinding selama sebulan sebelum mengecat untuk memastikan dinding betul-betul kering. Oleh kerana ingin menjimatkan masa maka proses mengecat bermula 2 minggu selepas proses melepa dinding.

Cat sealer berjenama Nippon 18l  dibeli dengan harga RM139 di G-Orange.

Pembelian aksesori dan kelengkapan rumah

Pembelian aksesori dan kelengkapan rumah dibeli di beberapa kedai antaranya G-Orange Mall, Aik Hoe Home Centre, Mr DIY dan juga belian secara online. Untuk mangkuk tandas dan tab mandi di G-Orange. Kipas dan pintu bilik dibeli di Aik Hoe manakala lampu di di MR DIY serta secara online. Barang dibeli secara sedikit demi sedikit sekiranya terdapat promosi.


Menanda batu sempadan

Pada 10/7/2018, juruukur diupah untuk menanda batu sempadan untuk memudahkan membuat pagar. Sebanyak 2 batu sempadan tidak dijumpai. Bayaran sebanyak RM150 dibuat untuk menanda batu sempadan baru.


Batu ini terbalik. Masa cari tak jumpa. Jurukur telah jumpa batu dan diletak pada tempatnya. 


Batu sempadan tidak dijumpai, mungkin telah tertanam dalam tanah semasa proses pembersihan. Kawasan ditanda dengan kayu pancang.


Update pembinaan bulan Julai

Sepanjang bulan Julai, pemasangan atap telah bermula. Selain itu, proses melepa juga bermula di ruang yang dipasang atap. Pemasangan atap dilakukan oleh orang lain. Pemasangan tersebut agak perlahan kerana mengikut pekerja binaan, kadang-kadang pekerja yang memasang atap tidak datang bekerja. Ini juga menyebabkan proses melepa terganggu kerana terpaksa menunggu kawasan yang belum diletak atap dipasang atap dulu.

Gambar sepanjang pembinaan bulan Julai










Update pembinaan bulan Jun

Pembinaan agak perlahan pada bulan Jun kerana bulan puasa dan cuti hari raya. Pembinaan diteruskan dengan memasng kekuda. Untuk kerja melepa dinding akan dilaksanakan setelah selesai pembinaan atap. Kerja-kerja melepa boleh dibuat awal tetapi untuk lebih selamat dibuat setelah selesai pembinaan atap kerana jika hujan, pekerja terpaksa melepa sekali lagi. Jika musim cuaca panas tiada masalah untuk melepa dinding.

Gambar kemajuan pada 13 Jun 2018. Gambar diambil sebelum pergi bercuti Hari Raya Aidilfitri.



Setelah penelitian dibuat, didapati pekerja memasang kekuda batten pada jarak yang agak dekat. Jika diikutkan pada pihak penjual serta manual yang disediakan oleh pihak SCG, jarak kekuda batten adalah berukuran 3 kaki. Saya kemudian bertanya kepada Abe Yie tentang perkara ini dan beliau menjelaskan jarak kekuda tersebut adalah 1.5 kaki. Ini adalah kerana beliau ingin memastikan sokongan atap lebih kukuh. Sebenarnya ianya cukup dengan jarak 3 kaki kerana atap SCG ini adalah ringan dan binaannya diakui kukuh. Oleh kerana penggunaan kekuda batten bertambah maka bajet juga sedikit bertambah.

Update pembinaan bulan Mei

Setakat 31 Mei 2018, rumah telah siap diikat jongkong batu. Jumlah kos setakat ini adalah sebanyak RM 80,500. Kos ini adalah termasuk untuk pembelian besi kekuda dan atap SCG. Kerja - kerja pembinaan pembinaan menjadi sedikit perlahan apabila memasuki bulan puasa.

Gambar kemajuan pembinaan rumah pada akhir bulan Mei.








Gambar bagi pembiaan awal bulan Mei.