Pada peringkat awal memang ingin tukang cat sahaja yang mengecat rumah tetapi setelah bertanya tentang kos mengecat, Abe Yie mengatakan kos cat sahaja perlu menyediakan sebanyak RM10,000 (harga tidak sampai RM10,000 tetapi perlu standby) dan upah dalam RM4-5 ribu. Oleh kerana ingin membuat pagar batu yang kosnya dalam RM15,000 maka telah diambil keputusan untuk mengecat sendiri dengan bantuan adik ipar.
Semasa membuat tinjauan mengenai jenama - jenama cat, telah terjumpa cat berjenama Easy Colour Paint. Cat ini adalah keluaran syarikat Bumiputra beralamat di Pulau Pinang. Mengikut pihak EasyPaint, cat ini tidak memerlukan cat undercoat atau sealer. Oleh itu ia menjimatkan masa dan kos. Sebanyak 3 gred cat ditawarkan iaitu Epaint (RM390), Upaint (RM300) dan Bpaint (RM250). Keistimewaan cat ini juga harga yang ditawarkan adalah sama bagi setiap warna. Jika membeli cat berjenama lain, harga adalah berbeza mengikut warna. Selalunya warna yang lembut adalah lebih murah. Sebanyak 7 tong cat 18l dipesan (6 tong Epaint dan 1 tong Upaint) dengan jumlah kos RM2620 termasuk penghantaran. Oleh kerana kilang hanya berada di Pulau Pinang sahaja khidmat penghantaran digunakan untuk menghantar cat tersebut menggunakan bas. Jika hanya membeli 1 tong maka akan menggunakan khidmat kurier. Khidmat penghantaran dicaj sebanyak RM30 sahaja.
Cat telah sampai awal pagi 28/7/18. Proses mengecat bermula pada 3/8/18. Cat dimulakan dengan siling dan kemudiannya bilik tidur. Cat dilakukan pada hujung minggu sahaja. Setelah beberapa kali mengecat, pekerja binaan memberitahu untuk menggunakan cat undercoat. Ini adalah untuk memastikan warna cat lebih sekata dan untuk memastikan lapisan simen dinding tidak kelihatan. Setelah diteliti memang terdapat tempat yang kurang sekata. Hal ini lebih jelas dengan warna yang lebih lembut. Bilik anak menggunakan warna biru laut dan warna merah jambu, oleh itu tidak terlalu nampak akan ketidaksekataan cat. Tetapi bilik utama menggunakan warna krim, setelah mengecat sebanyak 2 lapis cat, masih ternampak warna simen dinding.
Oleh sebab itu, saya membuat keputusan untuk menggunakan cat undercoat untuk ruang lain yang belum dicat iaitu ruang tamu,dapur dan bahagian luar. Cat undercoat adalah cat berwarna putih dan ada yang murah dan yang mahal iaitu cat sealer. Harga cat yang murah adalah sekitar RM70 bagi tong besar 18l manakala harga bagi cat sealer adalah sekitar RM160 bagi tong 18l. Cat undercoat biasa adalah berasaskan kapur, oleh itu jika ingin cat tahan lama adalah disyorkan menggunakan cat sealer. Mengikut kedai, jika menggunakan cat undercoat murah maka dalam jangka masa panjang cat tersebut tersebut mudah mengelupas. Jika menggunakan sealer, ia seperti gam yang melekat di dinding oleh itu ia tidak mudah mengelupas. Selain itu, mengikut pihak kedai, perlu membiarkan plaster dinding selama sebulan sebelum mengecat untuk memastikan dinding betul-betul kering. Oleh kerana ingin menjimatkan masa maka proses mengecat bermula 2 minggu selepas proses melepa dinding.
Cat sealer berjenama Nippon 18l dibeli dengan harga RM139 di G-Orange.
No comments:
Post a Comment