Sunday, April 29, 2018

Kontraktor bermasalah.

Pihak kontraktor telah meminta untuk membayar kemajuan binaan rumah untuk ansuran ke dua walaupun fasa pertama masih belum siap lagi. Dalam surat perjanjian menyatakan bahawa bayaran kali kedua dibuat setelah pihak kontraktor selesai membina tiang konkrit. Kemajuan di tapak baru sahaja selesai pembinaan tapak stump. Mengikut pihak kontraktor bayaran perlu dilakukan kerana mahu memesan barang-barang binaan. Namun kami tidak bersetuju untuk membuat bayaran kerana kemajuan fasa pertama masih belum siap lagi. Oleh kerana tidak bersetuju untuk membuat bayaran maka pihak kontraktor membawa balik pekerja di tapak rumah pada bulan Mei tanpa menyiapkan dahulu fasa pertama.

Setelah lebih sebulan pembinaan terbengkalai, pihak kontraktor dihubungi untuk mengetahui bilakah untuk menyambung pembinaan rumah. Pihak kontraktor memberi alasan bahawa perjanjian untuk membina rumah adalah selama 18 bulan oleh itu pihak kontraktor tidak perlu tergesa-gesa untuk menyiapkan rumah tersebut. Kami berasa tidak puas hati kerana tempat yang ditinggalkan telah naik semak dan mahu pihak kontraktor supaya menyiapkan dahulu untuk fasa 1 iaitu sehingga siap binaan tiang sahaja. Namun alasan sama diberikan pihak kontraktor iaitu ia akan menyiapkan dalam masa 18 bulan. Temujanji dengan pemilik syarikat sendiri untuk menyelesaikan masalah ini tidak berjaya kerana mungkin pemilik mungkin sangat sibuk dengan projek berjuta-juta di tempat lain.

Oleh kerana sikap sambil lewa pihak kontraktor untuk menyiapkan rumah ini maka terpaksalah membatalkan perjanjian bina rumah ini. Pada bulan Ogos 2017, perjanjian bina rumah dibatalkan dimana pihak kontraktor membayar balik separuh bayaran yang telah dibuat iaitu RM9800. Setelah perjanjian dibatalkan, kami mendapat tahu bahawa pihak kontraktor memang bermasalah dimana di tempat lain juga ia telah meminta bayaran tanpa menyiapkan dahulu rumah mengikut perjanjian.




Keadaan tapak rumah yang telah naik semak samun setelah ditinggalkan oleh pihak kontraktor lebih dua bulan. Hanya tapak stump sahaja yang dibina berbanding perjanjian yang menyatakan kontraktor perlu menyiapkan pembinaan sehingga tiang bangunan.



Monday, April 23, 2018

Pembinaan rumah dengan kontraktor bermula.

Bayaran pertama sebanyak RM19600 dibuat pada 26/3/2017 kepada kontraktor setelah mendapat panggilan bahawa pembinaan akan dimulakan. Proses pembersihan tapak rumah dilakukan menggunakan backhoe dengan bayaran sebanyak RM200 bagi kerja setengah hari. Setelah itu, pemasangan air boring dilakukan kerana tidak ada bekalan air kerajaan. Mengikut jiran, pihak air SATU meminta bayaran yang agak tinggi untuk memasang paip kerajaan. Oleh itu, jiran sebelah rumah cuma memasang air boring sahaja. Kos pemasangan air boring sebanyak RM320.
Mengikut pihak kontraktor barang akan dihantar dalam masa 2 minggu. Namun setelah 2 minggu barang masih belum sampai. Pelbagai alasan dinyatakan seperti tiada lori dan lain-lain. Setelah lebih sebulan sampai barulah barang sampai. Pembinaan dimulakan pada bulan 5. Pemantauan dilakukan seminggu sekali. 

Buat rumah dengan kontraktor

Sekitar bulan Jun 2016 (jika tidak silap), telah terjumpa iklan di dalam Facebook dimana pihak kontraktor telah menawarkan rumah berharga RM95,000 sahaja dengan keluasan 1400 kps. Harga yang ditawarkan sungguh murah kerana rumah yang dibina siap dengan mozek seluruh ruang bilik dan dengan atap genting. Rumah dikira jatuh ke RM67/kps. Ini lebih murah dengan bajet asal yang telah saya buat untuk membina rumah sendiri iaitu RM85/kps.

Tanpa membuat membuang masa saya pergi pejabat kontraktor untuk bertemu dengan wakil untuk bertanyakan mengenai rumah yang ditawarkan. Pada ketika itu, saya tidak terfikir akan perkara luar jangka kerana pihak kontraktor sendiri sedang membuat projek tersebut di beberapa tempat. Saya membayar deposit sebanyak RM3000 dimana wakil kontraktor menyatakan wang deposit akan ditolak pada harga rumah. Saya dan isteri ada melawat tapak rumah Bachok dan berpuas dengan kecepatan pihak kontraktor membuat rumah tersebut.

Oleh kerana rumah tersebut mempunyai 3 bilik dan saya mempunyai anak yang ramai maka saya telah meminta kontraktor menambah keluasan rumah tersebut. Rumah tersebut ditambah menjadi keluasan kira-kira 1800kps dimana saya perlu menambah RM105 setiap kaki persegi. Oleh itu saya perlu membayar kira-kira RM137,000 kepada pihak kontraktor. Rumah tersebut akan menggunakan pinjaman kerajaan. Pada bulan Januari 2017, pihak wakil kontraktor memaklumkan bahawa pelan adalah tidak lulus kerana tidak cukup 20 kaki untuk ruang bahagian hadapan. Saya agak kecewa namun ada satu lagi rumah yang ditawarkan pihak kontraktor berharga RM98,000 dengan keluasan 1436kps. Rumah adalah 4 bilik dan 3 bilik air. Mengikut pihak kontraktor rumah dapat disiapkan dalam masa 6 bulan dan bayaran mengikut progress sebanyak 5 kali bayaran.

Bayaran pertama sebanyak RM19600 dibuat pada 26/3/2017 kepada kontraktor.

Thursday, April 19, 2018

Pengenalan

Blog ini dibuat khas untuk berkongsi pengalaman pembinaan rumah sendiri. Perancangan untuk membina rumah sendiri bermula pada tahun 2016. Setelah membuat carian lot tanah, tanah yang dipilih adalah di Kg Gong Bayor, Besut. Tanah dibeli adalah berkeluasan 958m2 dan berharga RM60,000. Harganya murah kerana bentuk tanah sedikit segitiga berbanding tanah lot besebelahan yang mempunyai bentuk segiempat tepat. Tanah dibeli menggunakan pinjaman kerajaan.

Draf awal untuk membina rumah adalah berkeluasan kira-kira 1800 kaki persegi. Rumah mempunyai 5 bilik dan 4 bilik air. Bajet asal yang diperuntukkan untuk membina rumah adalah RM153,000, (RM85/kps) dimana harga tersebut adalah harga rumah sahaja dengan spesifikasi binaan murah ke sederhana. Rumah akan dibina menggunakan pinjaman kerajaan sebanyak RM200,000 dimana baki sebanyak RM47,000 akan digunakan untuk membayar caj peguam, membuat pagar, grill, kabinet dapur, membeli perabot dan perkakasan elektrik baru. Rumah dijangka dimulakan pembinaan pada awal 2017 apabila wang KWSP dapat dikeluarkan.

Pembinaan rumah tanpa menggunakan khidmat pihak kontraktor adalah kerana faktor kewangan. Pihak kontraktor menawarkan khidmat bina rumah bermula RM115/kps. Ini bermakna jika keluasan 1800 kps maka saya perlu membayar sebanyak RM207,000. Oleh itu, jika menguruskan pembinaan rumah sendiri adalah lebih jimat. Bacaan mengenai pembinaan rumah sendiri di internet juga menjadi satu motivasi untuk menguruskan sendiri pembinaan rumah idaman.