Monday, May 7, 2018

Pembelian mozek

Kajian harga bagi mozek telah lama dilaksanakan. Mozek yang menjadi pilihan adalah mozek bersaiz 30cm x 30cm (1' x 1'). Ini adalah kerana mozek bersaiz ini lebih murah berbanding mozek yang bersaiz lebih besar. Harga bagi mozek ini adalah sekitar RM1.90 - RM2.20. Sekiranya terdapat promosi harga mugkin dalam lingkungan RM1.60 sekeping. Untuk mozek yang lebih besar harganya lebih mahal. Kita ambil contoh mozek bersaiz 30cm x 60cm (1' x 2'), mengikut kiraan biasa kita perlukan 2 keping mozek bersaiz 30cm x 30cm. Jika harga mozek ini RM2, maka sepatutnya harganya adalah RM4. Tetapi tidak, harganya lebih mahal iaitu RM4.50. Perkara ini juga sama bagi mozek 60cm x 60cm (2' x 2'), harganya sekitar RM9.50 sekeping. Oleh itu, saya bercadang untuk memilih mozek bersaiz 30cm x 30cm sahaja untuk menjimatkan kos.

Penggunaan mozek ini masih lambat lagi, tetapi saya ada melihat iklan di Facebook Kedai Besi Sri Guchil, Kuala Krai yang menyatakan ada membuat jualan penghabisan stok bagi mozek lama. Harganya bermula RM1 bagi saiz 30cm x 30cm. Promosi ini hanya untuk satu hari sahaja iaitu pada 5/5/2018. Kedai ini juga ada membuat jualan sempena ulangtahun yan ke 30 bermula 2 Mei hingga 30 Jun 2018. Oleh itu, selepas pergi melihat atap SCG, saya pergi ke kedai ini. Perancangan saya adalah untuk membeli sedikit mozek promosi ini dan membawa balik ke rumah menggunakan kenderaan sendiri.

Saya tiba di kedai tersebut pada waktu tengahari. Kedai ada menyediakan sedikit makanan ringan pada hari tersebut oleh itu saya dan isteri menjamu selera dahulu sebelum memilih mozek. Setelah selesai kami terus pergi melihat mozek lelong tersebut. Harganya cukup murah iaitu RM1 bagi mozek bersaiz 30cm x 30cm, RM1.50 bagi saiz 40cm x 40cm, RM2 bagi saiz 30cm x 60cm dan RM4 bagi saiz 60cm x 60cm. Stok yang diletak diluar kedai sahaja yang tinggal. Kami membuat pengiraan mozek dahulu dengan jurual dan selepas itu pergi memilih mozek. Kami dapat memilih lantai mozek bagi dapur dan ruang makan. Mozek yang dipilih sama corak dan bersaiz 30cm x 60cm. Seterusnya lantai bagi semua tandas. Mozek yang dipilih juga sama corak dan bersaiz 30cm x 30cm. Untuk lantai bilik,ruang tamu serta mozek dinding dapur dan tandas kami membeli moaek yang baru. Ini kerana mozek lelong kebanyakan stok yang ada hanya jenis kasar sesuai untuk dapur dan tandas. Untuk mozek jenis licin stok yang ada sedikit dan tidak cukup untuk satu bilik.

Bagi mozek ruang tamu dan bilik tidur, mozek bersaiz 30cm x 30cm dipilih dengan harga RM1.48 seunit. Mozek bagi dinding tandas pula berukuran 25cm x 33cm dengan harga RM1.58 seunit manakala mozek dinding dapur berukuran 30cm x 60cm dengan harga RM3.58 seunit. Jumlah keseluruhan bagi mozek yang dibeli adalah sebanyak RM33.64. Kos penghantaran pula adalah sebanyak RM100.

Sunday, May 6, 2018

Pemilihan atap

Pada asalnya atap yang dipilih adalah atap genting yang murah jenama Monier atau Lama. Atap ini berharga dalam lingkungan RM1.70 sekeping. Namun apabila terbaca dalam Facebook tentang promosi atap SCG atau dikenali sebagai atap gajah, maka kami mengambil peluang tentang lebih lanjut mengenai atap ini.

Rasa ingin tahu tentang atap ini bermula pada tahun 2016 lagi. Menurut risalah promosi, atap ini lebih besar dan menggunakan kurang kekuda berbanding atap genting biasa. Bagi atap genting biasa, jarak kekuda batten adalah sebanyak 30cm atau 1 kaki tetapi bagi atap SCG ini jarak batten adalah sebanyak 1 meter. Pada ketika harga adalah yang ditawarkan adalah RM11 bagi sekeping atap. Setelah membuat kiraan kasar tentang kos keseluruhan termasuk kos kekuda, kos bagi penggunaan atap SCG adalah murah sedikit berbanding atap genting. Tetapi perbezaan harga tidaklah begitu ketara. Oleh kerana pada masa itu, kurangnya testimoni terhadap atap ini menyebabkan minat menggunakan atap ini tidaklah begitu tinggi.

Saya juga ada bertanyakan pandangan tukang mengenai atap tersebut. Tukang rumah memberitahu bahawa penggunaan atap ini tidak begitu cantik berbanding menggunakan atap genting kerana saiznya yang besar seolah-olah seperti menggunakan atap zink. Oleh itu saya bersetuju sahaja saranan tukang untuk menggunakan atap genting .

Tetapi pada beberapa hari lepas ada terbaca mengenai harga atap ini di laman Facebook syarikat Akubig. Harga yang ditawarkan untuk sekeping atap adalah RM9.30. Ianya lebih murah berbanding pada tahun 2016. Terdapat juga perkongsian video di internet oleh kontraktor Mahligai Idaman. Kontraktor ini merupakan salah satu kontraktor yang terkenal di Pantai Timur. Menurutnya atap ini lebih sejuk berbanding atap genting. Sebenarnya inilah antara faktor menarik minat saya untuk mencuba atap ini.

Oleh itu, pada 5 Mei 2018 saya dan isteri telah pergi ke cawangan Akubig di Kelantan untuk mengetahui tentang atap ini dengan lebih lanjut serta perbandingan harga berbanding penggunaan atap genting. Menurut jurujual tersebut atap ini memang lebih sejuk kerana ianya diperbuat daripada fiber. Ianya juga tidak mudah diliputi kulat berbanding atap genting. Selain itu, pengeluar memberi jaminan 9-12 tahun bahawa warnanya tidak pudar.

Perbandingan ringkas kos bagi keluasan atap 1000kps adalah seperti berikut:

Atap Gajah SCG (RM8.80/keping)

1. Jumlah Atap  : 204 kpg = RM1795.20
2. Aksesori atap : Lumpsump = RM1989.40
Jumlah = RM3784.60

Penggunaan Kekuda (Besi)
1. Batten : 25btg = RM300.00 (RM12/btg)
2. C-Channel : 60btg = RM1410.00 (RM23.50/btg)

Jumlah keseluruhan = RM 5494.60

Atap Monier Elabana (RM1.75/keping)

1. Jumlah Atap  : 1901 kpg = RM1576.75
2. Aksesori atap : Lumpsump = RM1967.50
Jumlah = RM3544.25

Penggunaan Kekuda (Besi)
1. Batten : 88btg = RM1056.00 (RM12/btg)
2. C-Channel : 68btg = RM1598.00 (RM23.50/btg)

Jumlah keseluruhan = RM 6198.25

Beza harga adalah sebanyak RM 703.65

Wednesday, May 2, 2018

Pembinaan dimulakan.

Pembinaan dimulakan sebaik sahaja selesai proses penilaian oleh pihak JPPH pada 18 Mac 2018. Bayaran sebanyak RM10,000 dibayar kepada tukang untuk membeli barang dan upah pekerja.  Perincian kos barang dan upah akan dibuat setelah selesai pembinaan rumah nanti. Pada peringkat awal barang yang dibeli termasuk kayu,simen,besi dan bahan-bahan asas yang lain. Untuk menjimatkan kos, tukang tidak membuat stor menyimpan barang. Cukup sekadar menutup barang-barang dengan kanvas sahaja kerana mengikut tukang ketika membuat rumah adiknya, barang-barang tiada yang hilang. Membuat stor hanya membazir duit sahaja dan selepas selesai binaan rumah perlu dirobohkan. Pada peringkat ini, terlupa untuk mengambil gambar kemajuan kerja di tapak rumah

Pada 26 Mac 2018, bayaran kali kedua dibuat sebanyak RM15,000. Bayaran dibuat untuk menempah frame dan pintu kayu. Hanya pintu utama dan pintu belakang sahaja yang ditempah kerana menurut tukang, kayu yang ditempah mempunyai ketahanan yang lebih lama. Kedua-dua pintu ini terdedah kepada hujan dan panas oleh itu perlu untuk memilih kayu yang tahan lama.  Kayu untuk dibuat pintu dipastikan betul-betul berkualiti oleh tukang kayu.  Bagi pintu bilik, pintu siap dibeli di kedai sahaja kerana lebih murah. Tempahan tingkap juga dibuat di kedai rakan tukang. Frame tingkap adalah frame aluminium sahaja kerana lebih murah berbanding kayu.

Bayaran kali ketiga sebanyak RM12,000 dibuat pada 8 April. Bayaran ini digunakan untuk membeli tiang dan batu-bata sertaa upah pekerja.

Gambar kemajuan kerja pada 13 April 2018, 25 hari selepas pembinaan dimulakan. Tapak rumah siap disimen.



Gambar selepas sebulan kerja dimulakan. Tiang rumah mula dinaikkan.



Gambar 2 hari selepas, 20/4/2018. Jongkong bata telah banyak diikat dibahagian bilik.




Memohon pinjaman perumahan.

Pinjaman perumahan sebanyak RM230,000 dipohon bagi pembinaan rumah. Sebanyak RM220,000 digunakan untuk membuat rumah dan baki RM10,000 diperuntukkan untuk kos guaman dan kos lain. Pada awal bulan Februari perbincangan dilakukan dengan tukang rumah. Tukang rumah akan menguruskan semua pembinaan rumah dari awal hingga akhir. Barang-barang semua akan dibeli oleh tukang rumah. Menurut tukang rumah, peruntukkan sebanyak RM220,000 cukup untuk membina rumah lengkap dengan pagar. Kiranya tuan rumah hanya cuci kaki sahaja dan terima rumah siap sahaja. Harap-harap begitulah. Mengikut perkiraan tukang, bajet pembinaan rumah sahaja mungkin dalam RM184,600 iaitu RM100/kaki. Oleh itu, baki boleh digunakan untuk membuat pagar dan menambah sedikit aksesori rumah.

Pinjaman perumahan mula diproses oleh pihak peguam pada pertengahan bulan Februari. Penilaian oleh pihak JPPH siap pada 18 Mac 2018 dan permohonan pinjaman dihantar peguam sehari selepas menerima laporan JPPH. Pinjaman telah diluluskan pada 11 April dan dokumen telah dihantar kembali kepada peguam pada 18 April 2018. Proses cagaran di Pejabat Tanah dilakukan pada 22 April 2018 dan dihantar kembali kepada peguam untuk proses seterusnya.


Tuesday, May 1, 2018

Membina rumah dengan tukang.

Setelah menamatkan pembinaan rumah dengan kontraktor, pembinaan diteruskan dengan melantik tukang rumah. Tukang rumah adalah abang kepada jiran sebelah rumah. Semasa proses pembelian tanah, rumah sebelah masih dalam proses pembinaan iaitu dalam proses pemasangan mozek dan ketika melawat tapak rumah tukang tiada. Selepas rumah jiran siap dan berjumpa sendiri dengan tuan rumah barulah tahu yang pembinaan rumah diuruskan oleh abang beliau sendiri.

Berdasarkan pengamatan terhadap binaa rumah jiran, boleh dikatakan tukang rumah adalah seorang yang teliti. Oleh itu, tanpa membuang masa terus bersetuju untuk meneruskan pembinaan dengan tukang tersebut. Sebelum pembinaan dimulakan, pelan rumah perlu dibuat dahulu kerana ingin memohon pinjaman kerajaan.

Tukang rumah dipanggil Abe Yie. Beliau bertugas sebagai penyelia pembinaan rumah. Ini kerana beliau tidak terlibat dalam membina rumah tetapi lebih kepada pemantauan serta terlibat dalam pembelian barang-barang binaan. Untuk semua pembinaan akan diuruskan termasuk tempahan frame pintu/tingkap,pemasangan mozek, wiring, pembuatan grill/pagar dan kabinet dapur. Beliau telah mempunyai kenalan-kenalan yang melaksanakan tugas-tugas tersebut. Bayaran akan diberi kepada beliau untuk menempah serta membeli barang-barang.

Pelukis pelan yang dilantik adalah kenalan kepada abang ipar tukang. Pelan adalah berdasarkan pelan asal kontraktor dengan beberapa tambahan. Jumlah keluasan pelan keseluruhan adalah 1846kps. Kos bagi lukisan pelan termasuk kos submit ke IWK/majlis sebanyak RM 4362.20. Pelan telah dihantar oleh pelukis pelan pada bulan Oktober 2017.

Pada akhir bulan Januari 2018, barulah pelan dapat diambil di majlis daerah. Kalau diikutkan agak lambat proses tersebut. Saya tidak pasti mengapa proses tersebut lambat. Mengikut pelukis pelan,pihak majlis yang lambat proses. Tetapi apabila ditanya pihak majlis, mereka mengatakan bahawa pelan telah lama lulus tetapi pihak pelukis pelan yang tidak membuat susulan. Apa-apa pun bersyukur kerana pelan diluluskan tanpa denda kerana kalau diikutkan di tapak telah buat buat stump. Bayaran sebanyak RM720 dikenakan bagi sumbangan majlis dan papan tanda kelulusan binaan.